Kamera adalah alat yang paling popular saat ini khususnya dalam kegiatan fotografi. Dalam dunia fotografi, kamera merupakan satu teknologi untuk membentuk dan merakam suatu bayangan kemudian disimpan pada lambaran filem.
Sebelum ditemukan kamera, mata merupakan alat untuk melihat. Prinsip kerja dari mata inilah yang memberikan inspirasi bagi para ilmuan untuk membuat dan mengembangkan kamera yang digunakan pada masa kini. Teknologi kamera juga dapat digunakan untuk mengambil gambar, membuat filem, bahkan juga sebagai peralatan kedoktoran.
Dengan adanya perkembangan teknologi kamera maka wujudnya komuniti fotografi. Tidak ketinggalan negara kita juga mempunyai komuniti Persatuan Fotografi Brunei yang juga dikenali sebagai Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan pada bulan Jun 1968 oleh pencinta- pencinta fotografi seni tanah air yang diketuai oleh Haji Kamaluddin bin PDP Hj Abu Bakar selaku Yang di Pertua pertubuhan pertama dan memegang jawatan sebagai seorang jurugambar di Jabatan Penerangan.
Pada ketika itu pertubuhan ini mempunyai ahli seramai lapan orang dan sehingga ke hari ini jumlahnya adalah semakin meningkat dan mencecah lebih daripada 100 orang. Peningkatan jumlah ahli ini adalah selaras dengan perkembangan fotografi yang semakin popular di negara ini. Ahli-ahli juga begitu aktif dalam mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan ini di samping itu mereka juga mengikuti aktiviti fotografi di luar negara dan telah mendapat beberapa pengiktirafan antarabangsa dan serantau.
Penaung bagi Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bermula daripada tahun 1994 sehinggalah sekarang. Sebelum itu, jawatan sebagai penaung pertubuhan adalah dipegang oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa Bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim daripada tahun 1977 sehingga tahun 1993.
Pertubuhan Fotografi Brunei atau juga dikenali sebagai Brunei Photographic Society diperingkat antarabangsa merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar. Objektif pertubuhan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan penghayatan seni fotografi dengan pameran seperti kerja individu dan kumpulan oleh jurugambar-jurugambar tempatan. Pertubuhan ini dibantu dan dipantau oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Kementerian Perindustrian Sumber-Sumber Utama melalui Jabatan Pelancongan. Pertubuhan Fotografi ini juga membuat hubungan kerjasama dengan pertubuhan daripada luar negara seperti Federation of Asian Photographic Arts (FAPA) sejak tahun 1976, Federation Internatinal De L’Art Photographique (FIAP) sejak tahun 1977 dan Photographic Soceity of America (PSA) sejak tahun 1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan